≡ Menu

Tips Menjaga Perkahwinan Dan Cara Mengatasi Perceraian

Bagi kebanyakan pasangan, perkahwinan ialah suatu perkara terhebat yang berlaku dalam hidup mereka. Namun, kebanyakan daripada mereka sebenarnya tidak faham dan tidak sedar bahawa perkahwinan ialah suatu perkongsian yang paling sukar untuk dikendalikan.

Jika pasangan tersebut tidak memiliki ilmu pengetahuan yang cukup dan jelas, mereka pasti akan menghadapi alam perkahwinan dengan begitu sukar. Setiap pasangan perlu faham bahawa mereka berada dalam dunia yang baru, dunia yang jauh berbeza berbanding dunia sebelum mereka berkahwin.

Namun, ada juga pasangan yang dapat menjalani perkahwinan dengan penuh ketenangan dan penuh bahagia. Terdapat beberapa langkah bagi mengatasi keretakkan dan kesuraman dalam perkahwinan iaitu:

1. Cipta kebahagiaan dan kegembiraan

Berasa bahagia dan gembira ialah salah satu faktor terpenting untuk memperoleh perkahwinan yang berjaya. Kegembiraan ialah kunci untuk memastikan perkahwinan anda berjalan lancar. Kegembiraan perlu datang terlebih dahulu sebelum datangnya perkahwinan yang lancar dan teguh.

Bagi mengelakkan penamat yang sedih dalam perkahwinan anda, anda perlu belajar untuk membina kegembiraan dalam perkahwinan anda. Untuk melakukannya, anda perlu menggembirakan pasangan anda terlebih dahulu sebelum memikirkan kegembiraan anda. Apabila pasangan anda gembira, anda juga pasti akan gembira pada akhirnya.

Apa yang anda beri, itulah yang akan anda dapat.

2. Belajarlah untuk mendengar

Brendan Francis pernah berkata,”Seorang lelaki sudah separuh jalan untuk mencintai seorang wanita yang mendengar kata-katanya”. Jika anda seorang wanita dan sedang berdepan masalah perkahwinan dengan suami anda, mungkin kata-kata tersebut boleh memberi sedikit gambaran kepada anda betapa pentingnya kuasa mendengar.

Perkahwinan bermakna anda bersedia untuk bersikap terbuka dengan pasangan anda iaitu menjadi seorang yang boleh berkomunikasi dengannya dan juga setia mendengar apa jua kata-katanya.

3. Apa yang anda beri, itulah yang akan anda dapat

Kebanyakan orang yang terbiasa dengan kehidupan bujang pasti hanya akan memikirkan perihal dirinya sahaja. Sebab itulah apabila telah berkahwin, mereka seolah-olah terbawa-bawa dengan perangai lama dan tidak mempedulikan pasangan masing-masing.

Jadi, untuk membolehkan pasangan anda memberikan layanan terbaik kepada anda, anda patut terlebih dahulu memberikan layanan sebaik mungkin kepadanya, jangan terlalu pentingkan diri sendiri.

4. Jangan malu untuk meminta maaf

Berselisih faham atau berbeza pendapat sudah menjadi lumrah dalam perkahwinan. Anda seharusnya memahami perkara ini iaitu tiada pasangan yang sempurna, yang langsung tiada cacat cela.

Cara dan pengurusan masalah seperti ini yang membezakan setiap pasangan berbanding pasangan yang lain. Anda berdua harus belajar untuk berkomunikasi dengan berkesan dalam menyatakan pendapat atau pandangan anda kepada pasangan.

Jangan berebut-rebut untuk bercakap pada masa yang sama. Biarkan salah seorang bercakap terlebih dahulu dan berikan masa kepadanya untuk menerangkan kata-katanya manakala yang tidak bercakap mesti mendengar dengan penuh perhatian. Jangan takut untuk mengaku kesalahan jika terbukti anda yang bersalah dan bersikap jujurlah dengannya serta jangan malu untuk meminta maaf kepadanya.

Sepatutnya setiap pasangan mesti sentiasa saling meminta maaf terutamanya ketika berlaku sebarang konflik dalam rumah tangga. Belajar juga untuk saling memaafkan dan pupuklah sikap percaya sepenuhnya kepada pasangan.

5. Luangkan masa bersama pasangan

Di awal perkahwinan pasti semua pasangan berasa bahagia dan gembira. Mereka pasti meluangkan masa untuk bercuti atau melawat tempat-tempat menarik bersama-sama.

Namun, masa terus berlalu dan masing-masing semakin sibuk dengan urusan harian selari dengan bertambahnya tanggungjawab untuk dipikul dalam keluarga menyebabkan mereka mengabaikan pasangan mereka.

Ambillah masa untuk kembali bersama pasangan dan cuba seimbangkan dengan keperluan pasangan dengan urusan harian. Jika ada masa terluang, ajaklah pasangan untuk melakukan aktiviti yang menyeronokkan bersama-sama.

Comments

comments

{ 0 comments… add one }

Leave a Comment

CommentLuv badge

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.