Assalamualaikum dan Salam Sejahtera!
Apa khabar anda hari ini? Mudah-mudahan kesihatan anda sekeluarga sihat dan ceria selalu. Nota kali ini berkisar berkenaan ‘MADU DAN SEMUT’…
Kami menerima banyak pertanyaan dari para pembaca berkenaan isu-isu tertentu. Antara persoalannya ialah:
“Kenapa ada madu yang dihurungi semut?”
“Adakah madu yang dihurungi semut membuktikan madu itu madu tiruan?”
“Bagaimana cara untuk mengelakkan madu dihurungi semut?”
Kami di sini sebagai penternak lebah dan pengeluar hasil-hasil lebah amat prihatin dan tampil memberikan sedikit sebanyak penjelasan agar orang ramai dapat gambaran yang jelas berkenaan hal ini.
MADU adalah anugerah tuhan yang terbaik di muka bumi ini. Rasanya yang manis amat digemari tidak kira tua atau muda. Tidak lupa juga khasiatnya yang tinggi yang mampu mencegah dan merawat pelbagai jenis penyakit.
Untuk pengetahuan para pembaca, madu merupakan gula ringkas yang terhasil secara semulajadi. Gula ringkas ini juga mengandungi komponen-komponen asas yang sama seperti gula biasa yang terdiri daripada glukosa, fruktosa dan sukrosa. Tidak hairanlah jika kebanyakkan madu dihurungi semut kerana ia adalah manisan semulajadi!
Tidak dinafikan terdapat lambakan madu tiruan di dalam pasaran Malaysia. Adalah sukar untuk menentukan antara madu asli dan tiruan. Perspektif masyarakat yang mengatakan madu yang dihurungi semut merupakan madu tiruan adalah tidak tepat dan tidak benar. Secara logikal madu ialah gula dan secara saintifiknya madu mengandungi komponen seakan gula biasa, mana mungkin ia tidak dihurungi semut?
Disebabkan kepercayaan dan perspektif masyarakat yang diwar-warkan berulangkali dari zaman ke zaman tanpa pembuktian yang sah, maka rata-rata masyarakat kita terkeliru bahawa madu asli tidak dihurungi semut!
Jadi anda telah mengetahui sedikit sebanyak huraian berkenaan madu dan semut ini. Bagaimana pula cara untuk mengelakkan madu dihurungi semut? Jawapan yang pasti ialah kebersihan! Pastikan bekas simpanan atau botol madu anda bebas dan bersih dari lelehan madu. Cuci atau lapkan bahagian luar botol atau bekas. Simpan botol madu anda di tempat yang bebas semut.
Sekiranya madu anda dihurungi semut yang banyak, jangan sesekali panaskan atau sejukkan madu anda. Lap atau cuci botol madu anda dari semut-semut itu. Gunakan penapis halus sekiranya perlu bagi menapis keluar semut-semut. Tapiskan madu dan botolkan semula. Mudah!
Semoga jawapan ini merungkai persoalan anda semua. Sekian dulu, Insya Allah bertemu lagi!
Wassalam dan Salam Hormat.