SOAL AGAMA DAN AKHLAK ADALAH KEPERLUAN DAN KESELAMATAN BERSAMA DUNIA AKHIRAT
Maksud Hadis: “Dua golongan apabila baik mereka maka baiklah masyarakat iaitu umarak dan ulama.”(Riwayat Ibnu Abdul Barri dan Abu Nuaim)
Setiap pemimpin, di Akhirat kelak akan ditanya oleh Allah Taala setiap orang di bawah pimpinannya. Tidak kira mereka pemimpin besar atau pemimpin kecil, pemimpin umum atau pemimpin khusus. Mereka tidak boleh hanya memikirkan bidangnya sahaja. Di dalam ajaran Islam, masalah agama terutama di sudut fardhu ain adalah setiap individu yang mukalaf mesti mengetahui, mengamal dan menghayatinya dan siapa yang menjadi pemimpin dia juga bertanggungjawab memastikan setiap fardhu ain anak pimpinannya mesti selesai kerana soal agama dan akhlak ini keperluan bersama dan keselamatan bersama dunia Akhirat.Tidak seperti di bidang fardhu kifayah, umpamanya di bidang ketenteraan, ekonomi, pertanian.
Ini sebagai contoh;
Kalau ada satu golongan yang berkecimpung di bidang itu dan mencukupi untuk keperluan umum sudah memadai. Orang lain yang tidak mengambil bahagian di bidang ini terlepas daripada dosa. Tidak seperti Rukun Iman yang enam, Rukun Islam yang lima. Mengetahui halal dan haram serta akhlak yang mulia iaitu memiliki sifat-sifat mahmudah seperti adil, jujur, benar, tawadhuk, pemurah, kasih sayang, sabar, redha, tawakal, bertolak ansur, lapang dada, pemaaf, meminta maaf, amanah diwajibkan setiap orang, diperlu oleh setiap orang, setiap golongan. Mesti melibatkan diri, tiada seorang terkecuali sama ada dia pemimpin mahupun bukan pemimpin.
Setiap pemimpin Islam itu, tidak boleh dia berkata, “Saya pemimpin di bidang ketenteraan. Saya hanya bertanggungjawab kepada anak buah saya, hal yang bersangkutan dengan ketenteraan sahaja. Soal agama dan akhlak itu bukan tanggungjawab saya.”
Pemimpin politik pun berkata, “Saya hanya pemimpin di bidang politik. Soal syariat dan akhlak itu bukan bidang saya.”
Pemimpin ekonomi pun berkata, “Demikian juga, saya hanya memimpin di bidang ekonomi. Masalah agama dan akhlak mereka itu, bukan tanggungjawab saya.”
Begitulah setiap pemimpin itu berfikiran demikian. Soal agama dan akhlak itu tanggungjawab ulama, ustaz, pendakwah, pemimpin dakwah. “Kami ada mempunyai bidang yang khusus”.
Itu adalah fikiran mereka. Allah dan Rasul tidak mengkehendaki demikian. Islam memerintahkan setiap pemimpin umat Islam, dia pemimpin negara, pemimpin negeri, pemimpin ketenteraan, pemimpin politik, pemimpin ekonomi, pemimpin persuratan dan kesusasteraan, pemimpin belia dan seterusnya, wajib bertanggungjawab kepada anak pimpinan mengenai agama dan akhlak mereka.
Di akhir zaman ini, di sinilah di antara kelemahan umat Islam, yang mana pemimpin itu hanya dia bertanggungjawab di bidangnya sahaja. Terhadap agama dan akhlak, mereka tidak mengambil pusing. Bahkan banyak di kalangan mereka itu meringan-ringankannya. Di sinilah rahsianya mengapa setiap golongan itu, di antara satu sama lain payah hendak disatukan. Hati berjauhan walaupun tidak bergaduh. Kerana tali pengikat di kalangan golongan umat Islam ialah agama mereka dan akhlak Islam, tapi talinya ini telah diputuskan. Pengikat untuk menyatukan umat Islam sudah tiada. Kalaupun ada tetapi tali yang telah reput.
Justeru itu di setengah golongan atau kumpulan, lebih banyak berlaku berbagai-bagai gejala-gejala yang negatif daripada setengah golongan yang lain. Dan setengah golongan agak lebih baik daripada kebanyakan golongan yang lain pula. Kerana golongan yang banyak menimbulkan gejala itu mereka tidak lagi dipimpin ke arah agama dan akhlak yang mulia oleh pemimpin. Kalaupun ada program sekali-sekala, itu pun yang didatangkan dari luar. Pemimpin hanya memikirkan bidangnya sahaja. Seolah-olah agama dan akhlak persoalan individu.
Padahal umat Islam itu, apa yang dikehendaki ialah setiap orang itu tidak kira apa kerjanya, bidang apa yang dia tahu, profesion apa yang dia miliki, namun terhadap agama dan akhlak mesti sama kerana ia keperluan bersama. Agama dan akhlak sama-sama punya, tidak seorang boleh berkecuali. Ia adalah kehendak Islam itu sendiri.
Kalau setiap pemimpin, tidak kira di peringkat yang mana, jika mereka mengambil berat terhadap didikan agama dan akhlak terhadap orang yang di bawah kepimpinan mereka, mendidik ke arah kedua-duanya, maka akan lahirlah di dalam masyarakat Islam ahli politik, ahli pendidikan, ahli ekonomi, ahli kesenian, ahli budaya, ahli persuratan dan kesusasteraan, ahli ketenteraan, ahli kepolisian, ahli dakwah, ahli jemaah, ahli sains dan teknologi, ahli akademik, ahli pentadbiran dan lain-lain golongan lagi yang taat dengan agama, berdisiplin dan berakhlak mulia dan tinggi.
Dengan cara itu akan dapat dilihat bahawa semua golongan umat Islam dari segi peribadinya dan individunya sama, selari, bersatu, rentak yang sama, syiar mereka bersama, ketaatan dan akhlak mulianya sama.Walaupun mereka pakar di dalam berbagai-bagai bidang dan profesion yang tidak sama.
Apakah ada umat Islam berfikir bahawa ketaatan beragama, berdisiplin dan mempunyai akhlak yang mulia itu hanya diperlukan oleh guru-guru agama, ustaz-ustaz, alim ulama, para daei semata-mata, golongan lain tidak perlu?! Apakah sifat jujur, alim, pemurah, kasih sayang, amanah dan lain lain lagi sifat-sifat yang mulia hanya perlu untuk ahli agama, golongan yang lain tidak diperlukan?
Apakah ada di kalangan umat Islam berfikir, jika taat kepada agama dan berakhlak mulia akan merugikan umat Islam dan manusia seluruhnya? Apakah dengan beragama dan berakhlak mulia akan membawa kemunduran, tidak akan maju, tidak akan berjaya, akan mundur ke belakang?
Sebenarnya kepatuhan kepada agama dan berakhlak mulia, itulah menjadikan umat Islam berdisiplin. Akan memperindahkan dan memperbaiki lagi bidang dan profesion setiap golongan itu. Di sinilah kemuliaan dan kehormatan umat Islam. Kalau ada sifat-sifat ini bukan sahaja Allah dan Rasul suka, tapi akan dihormati oleh seluruh manusia sekalipun orang bukan Islam kerana akhlak mulia bersifat sejagat. Semua manusia menerima, suka dan merasa senang.
Umat Islam di zaman salafussoleh mempunyai kepakaran dan kepandaian yang berlainan di berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan. Ada pakar tafsir, pakar Hadis, pakar feqah, pakar sejarah, pakar aqidah, pakar falsafah, pakar sains, pakar perubatan, pakar kaji bintang, pakar perang tapi di segi agamanya iaitu ketaatan kepada Allah dan Rasul, disiplin hidup serta akhlak mulia, mereka sama-sama terserlah, sama-sama hebat, sama-sama kuat, sama-sama membangunkan syariat, syiar Islam itu sangat menonjol dan dapat dilihat di dalam semua keperluan.
Sedangkan mereka di bidang fardhu kifayah mempunyai kepakaran yang tersendiri, mempunyai profesion yang berlainan. Mengapa terjadi demikian? Kerana didikan agama dan akhlak kepada semua golongan yang mengetahui di berbagai-bagai bidang itu adalah sama. Sama-sama dititik beratkan. Di dalam mereka mempunyai kepakaran di bidang-bidang tertentu, di sudut yang lain menjadi abid. Mereka di samping mempunyai ilmu yang tinggi di berbagai bidang, akhlak mereka juga begitu mulia dan tinggi yang tidak dimiliki oleh ahli ilmu di kalangan agama lain.
Oleh itu kalau setiap pemimpin umat Islam di seluruh dunia hari ini berperanan, setiap pemimpin di setiap golongan dan bidang itu berusaha dan berjuang dengan serius mendidik anak-anak pimpinannya kepada agama dan akhlak mulia, di dalam masa yang tidak lama, insya-Allah umat Islam ini akan menempah semula zaman kemenangan dan kegemilangan seperti di zaman silamnya.
via:Mimi Marina Jaafar